Tuesday 26 April 2011

Ingin Berdoa?

1. Allah yu’tika al-‘afiah, Allah yuziduka al-khair, Allah yaktub laka khairan, Robbuna yashfika, Robbuna yu’iinuka... Ini merupakan antara perkara yang menarik di negara Arab, iaitu kita sentiasa didoakan dan mendoakan. Dalam ucapan mereka penuh dengan doa. Perbualan akan bermula dengan saling doa-mendoakan, hendak berpisah juga begitu dan ketika kita berikan alasan kepada Prof. pensyarah juga kita akan didoakan. Bukan satu doa tetapi pelbagai doa yang dilafazkan oleh mereka, tidak putus-putus dan saling berbalas di antara satu sama lain. Allahumma ameen, semoga Allah SWT memakbulkannya.

gambar hiasan

2. Doa bukan sekadar lafaz yang diucapkan atau menadah tangan sahaja. Sedangkan perbuatannya mendustakan apa yang didoakan. Doa adalah kesungguhan dan tanggungjawab. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah itu elok dan tidak akan menerima melainkan yang elok. Dan Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang mukmin sebagaimana yang diperintahkan kepada para rasul... kemudian nabi SAW menyebut seorang lelaki yang jauh bermusafir, rambutnya kusut masai, menadah tangannya ke langit menyebut ya Rabb, ya Rabb, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dibesarkan dengan yang haram, maka bagaimanakah dimustajabkan untuknya?. (Riwayat Muslim)

3. Doa adalah kesungguhan kerana ia bukan sahaja lafaz yang diucapkan, tetapi juga pendirian seorang insan yang menuntut perubahan daripada negatif kepada positif, daripada sebelum ini melakukan maksiat kepada amal dan juga taat. Juga keazaman dan komitmen, selepas melampaui batas untuk kembali kepada kebenaran.

4. Doa juga adalah tanggungjawab kerana bermula seseorang mengadapkan wajahnya berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, maka pada saat itu dia bertanggungjawab penuh terhadap doanya. Ia seumpama sedang berjanji dengan Allah SWT, untuk tidak kembali lagi melakukan maksiat dan dosa. Jika dia kembali juga maka dia tidak serius dan hanya olok-olok dengan Allah. Janji ini akan menjadi hujjah ke atasnya kelak.

5. Boleh jadi tujuan seseorang berdoa adalah untuk memohon agar dosanya diampunkan selepas tergelincir melakukan kemungkaran. Ada juga yang berdoa kerana inginkan sesuatu manfaat dan kebaikan. Kedua-duanya dibenarkan oleh syara’. Walau bagaimanapun terdapat syarat-syarat yang mesti dipenuhi dalam berdoa. Antara yang paling penting ialah, doa yang kita panjatkan tidak bercanggah dengan agama dan sunnatullah kepada makhlukNya. Contohnya, tidak boleh berdoa agar Allah tidak mewajibkan ke atasnya solat, zakat atau haji. Begitu juga tidak boleh bagi seseorang yang ingin terjun bangunan setinggi 20 tingkat, lalu menadah tangan berdoa Allah agar dia tidak mati selepas terjun. Adakah akan dimakbulkan doanya?

6. Semua itu adalah perbuatan orang jahil, jahil terhadap konsep sunnatullah lalu menyangka bahawa dengan berdoa akan tercapai apa yang diminta, atau jika tidak dapat maka Allah SWT akan dipersalahkan. Ia bukan persoalan doa atau angan-angan, tetapi ia merupakan persoalan amal perbuatan yang menghasilkan natijah. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 123:

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat selain daripada Allah seorang pun yang akan melindunginya, dan tiada yang dapat menolongnya.

7. Jadi, di manakah sebenarnya kedudukan doa dalam amal perbuatan seorang insan? Tidak dinafikan peranan doa cukup besar dalam kehidupan kita. Banyak ayat al-Qur’an dan hadith nabi SAW yang menggalakkan kita berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka memperoleh kebenaran.

FirmanNya lagi dalam surah Ghafir ayat 60:

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.

Dalam peperangan Badar al-Kubro tahun ke 2 hijrah, nabi SAW berdoa dengan penuh khusyu’ memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan. Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA bahawa:

Nabi SAW mengadap kiblat, kemudian menadah tangan ke langit dan berdoa kepada Allah SWT: Ya Allah tunaikanlah sebagaimana yang telah Engkau janjikan kepadaku, berilah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku, ya Allah sekirannya dibinasakan kumpulan kecil ini yang terdiri daripada umat Islam, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini. Sentiasalah nabi berdoa dengan menadahkan tangannya mengadap kiblat sehingga jatuh selendang dari bahunya, maka Abu Bakar mengambilnya dan meletakkannya semula di atas bahu nabi SAW. (Riwayat Muslim)  

8. Ini bukan bermakna, seseorang itu hanya cukup berdoa tanpa sebarang usaha. Doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT insyaAllah apabila cukup syarat-syaratnya. Kejayaan tidak akan datang bergolek, keuntungan tidak akan datang percuma, semuanya memerlukan usaha. Jangan berhujjah dengan solat hajat dan bacaan Yaasin jika tidak ada usaha dan ikhtiar. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa:

Seorang lelaki berkata kepada nabi SAW: Ya Rasulullah, adakah aku perlu ikat (unta) dan bertawakkal atau aku lepaskan begitu sahaja dan bertawakkal? Nabi SAW menjawab: Ikatlah (unta) dan bertawakkal. (Riwayat al-Tirmizi)

9. Begitulah sifirnya dalam berdoa dan bertawakkal, mesti mengambil sebab dan memenuhi syarat-syaratnya. Kemudian bakinya adalah pergantungan dan pasrah kepada Allah SWT, tunduk tadhorru’ agar Allah menetapkan kaki kita dan menunjukkan jalan yang tepat sebagaimana yang kita harapkan. Pada saat ini bantuan Allah akan tiba, sebagai tanda makbulnya doa yang dipanjatkan. Dalam peristiwa hijrah, Nabi SAW dan sahabatnya Abu Bakar RA telah selamat daripada dijejaki oleh musyrikin ketika bersembunyi di dalam gua Thur, walaupun musyrikin sudah berada di hadapan pintu gua. Nabi SAW telah menyusun pelbagai strategi dan berusaha sebelum berhijrah. Maka bantuan Allah Azza wa Jalla tiba. Diriwayatkan daripada Abu Bakar RA bahawa:

Aku bersama dengan nabi SAW di dalam gua, maka aku melihat kesan-kesan tanda kedatangan musyrikin, aku berkata: Ya Rasulullah, kalaulah salah seorang daripada mereka mengangkat kakinya nescaya dia akan melihat kita. Nabi menjawab: Apa yang engkau sangka tentang kita berdua, sesungguhnya Allah SWT adalah yang ketiga. (Riwayat al-Bukhari)  

10. Dengan menggunakan amal yang soleh, kita boleh memohon sesuatu daripada Allah. Amal soleh menjadi wasilah dalam berdoa, yang dipanggil tawassul. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa dia mendengar nabi menceritakan kisah tiga orang yang sedang berjalan, lalu hujan turun dan mereka berteduh di dalam gua. Tiba-tiba gua tertutup dan mereka terperangkap di dalamnya. Salah seorang daripada mereka mencadangkan agar setiap seorang berdoa kepada Allah SWT dengan menggunakan amalan yang paling baik pernah mereka lakukan. Orang yang pertama pernah berbuat baik kepada kedua orang tuanya, yang kedua pernah menolak daripada melakukan zina, dan yang ketiga pula pernah menjaga harta pekerjanya dengan amanah. Akhirnya mereka berjaya keluar selepas setiap seorang berdoa dengan menyebut amalan soleh tadi di samping perkataan ini:

Ya Allah sekiranya Engkau mengetahui bahawa apa yang telah aku lakukan itu semata-mata keranaMu maka keluarkanlah kami. (Riwayat al-Bukhari)

11. Kesimpulannya, berdoa bukan semata-mata lafaz, tetapi juga kesungguhan dan tanggungjawab. Berdoalah dan yakinlah bahawa Allah SWT akan memakbulkannya. Nabi Musa juga pernah berdoa, walaupun pendek tetapi mempunyai pengertian yang cukup mendalam. Firman Allah SWT dalam surah al-Qosos ayat 24:

فقال رب إني لما أنزلت إلي من خير فقير

0 Pandangan:

Post a Comment